SAM Hishamuddin 

Beberapa minggu lalu saya telah dijemput oleh Puan Siti, guru kaunseling Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Sungai Bertih Klang untuk memberikan ceramah ringkas kepada pelajar tingkatan 1. Ceramah ini adalah berkenaan pembinaan sahsiah cemerlang.

Sesi ceramah itu adalah biasa sahaja bagi saya. Namun satu perkara yang amat menarik hati saya mengenai sekolah ini ialah semasa saya tiba ke sana. Disebabkan sekolah ini terletak di Klang, saya keluar rumah seawal 6.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Saya tiba ke kawasan sekolah pada pukul 7.15 pagi. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, saya meletakkan kereta saya di tempat letak kereta di hadapan kawasan sekolah. Saya keluar dan berdiri di sisi kereta saya sambil memerhatikan gelagat pelajar. Ketika itu pelajar tingkatan 3 sedang bersedia untuk masuk dewan peperiksaan.

Setelah saya berdiri lebih kurang 5 minit, tiba-tiba ada seorang pelajar lelaki datang menghampiri saya. Dia masih menyandang beg sekolah yang bermakna dia baru tiba dan dalam perjalanan masuk ke kelas. Dia juga memang sengaja berjalan ke arah saya kerana di tempat saya berdiri itu bukanlah laluan untuk pelajar ke kelas. Pelajar ini berkata, “Assalamualaikum Encik…”

“Waalaikumsalam warahmatullah..” jawab saya.

“Boleh saya bantu Encik…? Encik ada hendak cari sesiapa?” Tanya pelajar lelaki tersebut dengan nada yang sangat sopan dan merendah diri.

Saya tersenyum. Sepanjang pengalaman saya beberapa tahun pergi ke sekolah, kolej dan universiti, inilah kali pertama ada pelajar yang datang menegur pelawat yang datang untuk memberi bantuan. Saya menjawab,

“Tak apa dik, saya tengah tunggu nak jumpa Cikgu Siti. Cikgu Siti akan datang ke sini sekejap lagi.”

Pelajar lelaki ini menganggukkan kepala sambil tunduk dan berkata, “Assalamualaikum.” Lalu dia bergegas menuju ke kelas.

Saya begitu gembira dan kagum dengan kelakuan ini hingga saya terlupa untuk bertanyakan nama dan umurnya. Rasa bangga juga memenuhi diri saya kerana pelajar ini datang daripada sekolah agama dan apa yang baru dilakukannya benar-benar mencerminkan keindahan adab dan budaya seorang muslim sejati. Hati saya tidak henti-henti memuji pelajar ini.

Dalam masa yang sama, saya percaya semua guru dan pihak pentadbiran sekolah ini juga harus diberi pujian yang tinggi. Sikap yang ditunjukkan oleh pelajar tadi adalah sesuatu yang sukar diajar. Bagi saya ia cuma boleh diajarkan dengan berkesan jika sikap itu diamalkan dengan meluas di sesebuah sekolah. Saya percaya pihak pentadbiran sekolah termasuk pengetua dan guru-guru telah berjaya mewujudkan suasana yang menggalakkan amalan baik dan adab-adab muslim sejati seperti ini.

Sekalung tahniah sekali lagi kepada pelajar yang tidak sempat saya tanyakan nama ini. Semoga sikap, kelakuan dan adab beliau menjadi contoh kepada semua pelajar di negara kita ini.

Dipetik dari:

http://www.motivasibelajar.com/fikir/sejenak-bersama-pelajar-sekolah-agama-menengah-hishamuddin-klang-selangor.html