Yaum al-‘Athifah

Hari ini, 27 JUN 2009 (Sabtu), satu program yang dinamakan Yaum al-‘Athifah telah diadakan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari di SAMHSB.  Ia dijalankan di kelas masing-masing dengan dikendalikan oleh guru kelas.

Ibubapa dan penjaga ada yang datang seawal 7.15 pagi untuk menghadiri program tersebut.  Yaum al-‘Athifah yang bermaksud ‘hari emosi/perasaan/rasa kasih-sayang’ telah berjalan dengan lancar.  Sesi perbincangan dan penerangan tentang prestasi anak-anak telah diadakan dengan telus dan bersungguh-sungguh samada di pihak ibubapa/penjaga, mahupun di pihak guru.  Sesuai dengan nama program, sesi tersebut memang telah menyentuh emosi dan perasaan masing-masing yang terlibat.

Sebahagian ibubapa/penjaga ada yang telah mengambil peluang ini bagi meluahkan perasaan dan harapan mereka kepada para guru akan kejayaan anak-anak mereka.  Malah, ada yang berkongsi masalah bagi memberitahu pihak sekolah punca anak-anak mereka kurang cemerlang dalam pelajaran.

Bagi guru-guru, input seperti ini dapat memberi kefahaman kepada mereka dalam memilih pendekatan yang sesuai dalam berkomunikasi dengan para pelajar yang mungkin ‘bermasalah’.  Tentunya para pelajar tidak dengan sengaja untuk gagal.  Pastinya ada faktor penyebabnya.  Mungkin faktor keluarga, kewangan, rakan sebaya, kesihatan, kurang perhatian/kasih sayang dan sikap pelajar itu sendiri.

Mudah-mudahan sesi perbincangan yang telah diadakan pagi tadi dapat memanfaatkan kesemua pihak samada guru, ibubapa/penjaga, pelajar dan pihak sekolah dalam sama-sama memastikan kejayaan akademik dan sahsiah para pelajar SAMHSB dapat direalisasikan.

wAllahu Ta’ala A’lam.

Advertisements

Tahniah Buat Kadet Bomba

Pada 2 minggu lepas, beberapa orang pelajar SAMHSB telah mewakili sekolah menghadiri Latihan Pusat Kadet Bomba Peringkat Negeri Selangor.  Wakil sekolah iaitu saudara Iftiqal, Akmal dan saudari Fauziah telah membanggakan warga sekolah kerana telah berjaya merangkul beberapa anugerah sepanjang program tersebut dijalankan.  Antara kemenangan yang diperolehi adalah:

  1. Johan kawad kaki
  2. Johan formasi
  3. Johan kawad operasi berhalangan basah
  4. Johan kawad operasi menyelamat kering
  5. Tempat Ketiga kawad operasi campuran

Tambahan pula, 2 orang wakil SAMHSB telah terpilih untuk mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan di Terengganu pada 22-29 Jun 2009 nanti.  Mereka adalah saudara Iftiqal dan saudari Fauziah. 

Tahniah buat mereka.  Mudah-mudahan kesungguhan dan kecekalan mereka dijadikan iktibar kepada yang lain.

*Iftiqal, sila hubungi 019-3826408 (cikguShah) dgn segera.

Kem Ikon Cemerlang di SAMHSB

Kem ikon pelajar cemerlang bentuk sahsiah diri pelajar

(Dipetik dari Utusan Malaysia Online)

KLANG 3 Jun – Sebanyak 100 pelajar dari lima buah sekolah di daerah ini telah menyertai kem ikon pelajar cemerlang anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama Menengah Hisamuddin (SAMH) di sini, selama empat hari yang berakhir semalam.

Ikom Cemerlang

Empat lagi sekolah yang turut serta dalam program itu ialah Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Bandar Sultan Sulaiman, SMK Perempuan Raja Zarina, SMK Raja Lumu dan SMK Telok Gadung.

Yang Dipetua PIBG SAMH, Abdul Rahman Baba berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan menjana pelajar cemerlang di sekolah yang mampu menjadi ikon kecemerlangan kepada rakan-rakan pelajar lain.

Beliau menambah, antara matlamat lain ialah untuk memperkasakan budaya kecemerlangan pelajar di sekolah sehingga mengharumkan nama sekolah dengan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Menegah (SPM).

“Seperti yang kita lihat sekarang terlalu banyak gejala yang tidak berfaedah disertai pelajar sekolah, oleh itu dengan ada program seperti ini dapat menyedarkan mereka betapa buruknya perbuatan tersebut.

“Program seperti ini juga dapat mengukuhkan lagi adab-adab yang terpuji dan nilai-nilai murni dalam kehidupan,” katanya ketika berucap di majlis penutup kem tersebut.

Tambah beliau, kaedah pemilihan peserta dalam program tersebut adalah berdasarkan pencapaian peratusan tertinggi bagi setiap tingkatan di dalam rekod peperiksaan sekolah masing-masing.

Ujarnya, program ikon pelajar cemerlang dan gemilang tersebut dijalankan menepati ciri-ciri gabungan di antara perkampungan ilmu dan kem ibadah melalui susunan modul yang sistematik oleh pihak pelaksana yang berpengalaman untuk kebaikan pelajar.

Abdul Rahman berkata, antara bengkel dan slot yang dijalankan ialah motivasi diri, tanggungjawab anak dan pelajar, resipi menjadi pelajar cemerlang, forum bertajuk kenapa gagal mendapat A1, halangan dan kesilapan dan lain-lain aktiviti lagi.

Beliau berharap program seperti itu menjadi acara tahunan agar dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.

BAYARAN YURAN BAGI TAHUN 2009

Makluman ini khusus ditujukan kepada ibubapa/penjaga pelajar SAM Hisamuddin Sg Bertih.  Sila klik pada imej di bawah untuk melihat kandungan pekeliling rasmi dari pihak sekolah.

  • KUTIPAN BAYARAN-BAYARAN LAIN BAGI TAHUN 2009.  (Jumlah = RM59.50)

CCF02062009_00000

  • BAYARAN TAMBAHAN KURIKULUM AZHARI & SUMBANGAN DAN AKTIVITI KECEMERLANGAN PIBG 2009.  (Jumlah = RM130.00)

CCF02062009_00001

Sehubungan dengan itu, ibubapa/penjaga hendaklah menjelaskan bayaran di atas mulai 15 JUN 2009 secara tunai.  Kerjasama dan keprihatinan ibubapa / penjaga amat dihargai dan diucapkan terima kasih.

Sekian, dimaklumkan.  Terima kasih.  

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

Meriah, sungguh meriah!

Sambutan Hari Guru Peringkat SAMHSB telah diadakan pada 29 Mei 2009 dengan diisi pelbagai aktiviti.  Bermula dengan ucapan Pemimpin Pelajar, Pengetua dan seterusnya ucapan perasmian oleh YDP PIBG.  Kemudian, diikuti dengan bacaan ikrar dan nyanyian oleh para guru.

Keseluruhan program telah disusun oleh para pelajar dengan dibimbing oleh beberapa orang guru yang terlibat.  Aktiviti fizikal telah dimulakan dengan permainan bola tampar, kayuh basikal lambat, masuk benang dalam jarum, musical chair, bowling kelapa, lari dalam guni, shoot bola jaring dan berbagai-bagai lagi. 

Bukan itu sahaja, malah cabutan bertuah, hadiah kepada guru-guru dan anugerah tokoh guru turut diadakan.  Yang paling menarik adalah persembahan para pelajar seperti dikir barat, sajak dan pentomin.   Pendek kali, memang meriah hari tu.  Gelak ketawa dan usik-mengusik di kalangan pelajar dan guru telah mengisi suasana pagi di SAMHSB.

Semoga program yang telah diadakan dapat mengeratkan ukhuwwah di kalangan guru-guru dan para pelajar.