Selamat Bercuti

Cuti sekolah telah pun bermula.  Kami mengucapkan kepada semua guru-guru dan para pelajar ‘Selamat Bercuti’.  Berikut adalah beberapa nasihat kepada para pelajar:

  • Isikanlah masa dengan aktiviti dan program yang bermanfaat.
  • Manfaatkan masa cuti yang panjang ini untuk berbakti kepada ibubapa.
  • Banyakkan membaca seperti buku-buku agama, ensiklopedia, novel yang mendidik jiwa dan lain-lain.
  • Bagi yang akan menghadapi peperiksaan PMR, SMA dan SPM pada tahun hadapan (2010), mulakan usaha dan persediaan dari sekarang.
  • Jangan terlalu seronok.
  • Jangan bazirkan masa dengan tidur dan menonton TV sahaja.
  • Aturkan aktiviti dengan ibubapa, adik-beradik atau dengan kawan-kawan untuk pergi ke perpustakaan.
  • Sertailah program-program bermanfaat yang banyak dianjurkan sepanjang cuti persekolahan ini.
  • Jaga diri dan maruah kalian sebagai seorang muslim.
  • Jangan banyak meluangkan masa keluar dengan keluar bersama kawan-kawan ke tempat-tempat yang tidak bermanfaat, contohnya pusat membeli-belah, kafe siber dan seumpama dengannya.
  • Berhati-hati selalu kerana ‘kemalangan tidak berbau’ dan jenayah boleh tertimpa kepada sesiapa sahaja, terutama buat yang leka dan alpa.

Semoga kalian menjadi manusia yang lebih baik apabila kita bertemu nanti di sekolah pada sesi 2010.  Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala memelihara kalian sentiasa, dan ditunjukiNYA kalian dengan hidayah dan taufiq dariNYA, amin…

Manfaatkanlah cuti yang diberi.  Supaya kita tidak tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi akibat tidak memanfaatkan masa…

Demi masa.

وَالْعَصْرِ 1

Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,

إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ 2

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 3

Guru Tertekan Sekolah Asyik Kejar Glamour

 

Alhamdulillah, situasi di atas tidak berlaku di SAM Sultan Hisamuddin Sungai Bertih.  Saya rasa sekolah kita tiada guru yang tertekan akibat program-program yang dijalankan 😉 .

InsyaALLAH, mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala menguatkan hati para guru dalam mentarbiyyah anak didik melalui program-program yang telah diatur.  Semoga susah-payah para guru diganjari ALLAH Azza wa Jall, amin…

SPM: Ujian Besar Bermula Hari Ini!

Hari ini 18 NOVEMBER 2009 (Rabu), seramai 129 orang pelajar tingkatan 5 SAM Sultan Hisamuddin Sungai Bertih sedang menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).  Sejak awal pagi lagi, calon-calon SPM ini telah berkumpul di sekolah bagi menghadapi ujian terbesar dalam kehidupan mereka sebagai pelajar sekolah menengah.

Sebelum memasuki dewan, beberapa pesanan dan amanat telah disampaikan oleh para guru kepada mereka dengan harapan mereka dapat menghadapinya dengan penuh tenang dan bersedia.  InsyaALLAH, kami warga SAM Sultan Hisamuddin Sungai Bertih seluruhnya, akan mengiringi perjuangan mereka dengan do’a, mudah2an mereka berjaya menempuhinya, dan dikurniakan ALLAH akan keputusan yang cemerlang.

Ya ALLAH, saudara-saudara kami sedang menghadapi SPM pada hari ini dan beberapa hari mendatang, berilah kekuatan kepada mereka ya ALLAH.  Berilah mereka ilham dan keupayaan untuk menjawab soalan-soalan SPM ini, ya ALLAH.

Wahai Tuhan Yang Maha Memberi Pertolongan, tolonglah mereka dalam menghadapi ujian yang besar, SPM ini.  Berilah ketenangan kepada mereka, jauhkanlah mereka dari lemah dan lupa, resah dan gelisah.  Lindungilah mereka dari lalai dan cuai.

Wahai Tuhan Yang Maha Menentukan Segalanya, berilah ketentuan yang baik yang Engkau redhai hasil dari peperiksaan ini.  Kurniakanlah mereka keputusan yang cemerlang dalam ujian ini, dan bimbinglah mereka dengan hidayah dan taufiqMU, amin…

 

Jadual Peperiksaan SPM:  klik sini

Program Cinta & Remaja

Alhamdulillah, Badan Dakwah & Rohani (BADAR) dan Unit Bimbingan & Kaunseling (UBK) telah secara bersama menganjurkan program CINTA & Masa Depan Remaja.

Program tersebut bertujuan bagi memberi kefahaman kepada para pelajar SAMSHSB perihal cinta dan pandangan ISLAM terhadapnya.  Ini disebabkan oleh cinta dan remaja begitu sinonim dikaitkan.  Hasilnya, bagi yang tidak mempunyai kefahaman yang jelas, terdorong dek nafsu semata dan kejahilan, maka ramailah remaja yang terjerumus ke lembah kehinaan yang penuh dosa.

Antara pengisian:

29 OKTOBER 2009 (Khamis) Untuk Pelajar2 Tingkatan 3

  • Ceramah Keperluan & Perkembangan Psikologi Remaja (oleh Cikgu Aizan)
  • Forum:  Cinta & Masa Depan Remaja (Panel:  Cikgu Shah, Cikgu Aizan, Cik Rafidah dan Cik Aeisyah sbg moderator)
  • Bengkel Anda Bijak Jauhi Zina (oleh En. Azri)

12 NOVEMBER 2009 (Khamis) Untuk Pelajar2 Tingkatan 4

  • Cinta:  Fitrah atau Fitnah? (Bhgn 1) (Oleh Cikgu Shah)
  • Forum:  Cinta & Masa Depan Remaja (Panel:  Cikgu Shah & Cikgu Aizan dan Cik Ellyna sbg moderator)
  • Cinta:  Fitrah atau Fitnah? (Bhgn 2) (Oleh Cikgu Shah)

Semoga para pelajar yang terlibat dapat mengambil manfaat dan meletakkan keutamaan cinta kepada ALLAH & Rasul sebagai yang utama.   Juga, tumpukanlah dan fokuskanlah kepada amanah ibubapa serta cita-cita kalian.

Berhati-hatilah, sesungguhnya zaman remaja ini penuh dengan dilema dan fitnah.  Mudah2an ALLAH subhanahu wata’ala memelihara kalian dengan hidayah & taufiqNYA, amin…

Senarai Universiti Awam di Malaysia

Berikut adalah senarai universiti awam di Malaysia yang mempunyai laman web rasmi.  Sila klik untuk mengenali serba sedikit tentang universiti-universiti berikut:

 

  • Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)
  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
  • Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
  • Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • Universiti Sains Islam Malaysia(USIM)
  • Universiti Sains Malaysia (USM)
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM)
  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Program Gemilang SPM

    Tarikh:  4 November 2009 (Rabu)

    Tempat:  Dewan Angsana, SAMSHSB

    Masa:  7.40am – 2.20pm

    Peserta:  Semua pelajar Tingkatan 5

    Penceramah:  YM Raja Ismail bin Raja Shahadan

     

    Milikilah Sifat Malu

    2 minggu lepas BADAR ada menyentuh perihal malu dan pentingnya sifat tersebut kepada seseorang muslim untuk menjaga sifat tersebut.  Dalam kuliah Maghrib minggu lepas pun ada disentuh.  Berikut adalah artikel yang mungkin dapat dimanfaatkan para pelajar sekalian tentang perihal MALU. 

    Artikel berikut dipetik dari:  http://muzir.wordpress.com/2009/11/04/milikilah-sifat-malu/

     

    Milikilah Sifat Malu

    Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan.  Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain.  Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

    Malu adalah sebahagian daripada iman.  Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.  Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

    Pentingnya memiliki sifat malu.  Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.  Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat.  Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya.  Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

    Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu ‘anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

    “Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (HR Bukhari)

    Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput.  Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang.  Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

    “Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati.  Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.  Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang.  Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

    Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu.  Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.  Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua.  Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:  “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”

    Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

    Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:  Rasulullah saw. bersabda:  “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Shahih Muslim No.50)

    Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Shahih Muslim No.53)

    Muslimin-muslimat sekalian,

    Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.  Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.  Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.  Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.  Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.  Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.  Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.  Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.  Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.  Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu.  Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu.  Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu.  Dan macam-macam lagi.

    Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.  Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.  Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu.  “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat.  Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi.  Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.

    Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.  Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi. 

    Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”.  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.  Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana ALLAH subhanahu wata’ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan. 

    Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.  Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut.  Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

    Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.