Nisfu Syaaban dan Ramadan

Assalamu’alaikum…yang pasti sekarang kita sudah semakin menghampiri penghujung Syaaban dan semakin mendekati Ramadan al-Mubarak, alhamdulillah~

Sesudah kita meraikan Rejab dengan kelebihan Israk dan Mikrajnya, kita diberi peluang menghayati bulan Syaaban dengan segala kelebihannya terutamanya kelebihan malam nisfu Syaaban yang akan kita lalui.

InsyaAllah beberapa hari lagi, kita akan memasuki gerbang Ramadan yang penuh keberkatan dan keistimewaan termasuklah malam yang paling mulia, lailatul qadar. Semoga kita menemukannya pada tahun ini..Amin.

Umat Islam sentiasa menantikan ketibaan ketiga-tiga bulan yang mempunyai keistimewaan terutama hamba Allah yang sentiasa berusaha mencari keredaan Tuhannya dengan melakukan amal salih.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku (Rasulullah) dan Ramadan bulan umatku.” (Hadis riwayat Anas bin Malik)

Jelas kelihatan bagaimana Rejab dan Syaaban dijadikan sebegitu rupa agar berperanan sebagai kelas persediaan untuk memasuki madrasah Ramadan termasuklah yang bakal kita tempuhi iaitu malam nisfu Syaaban yang mana Rasulullah SAW amat menghargainya dan tidak melepaskan peluang menghidupkannya dengan munajat dan qiam.

Ada kalangan para ulama yang berpandangan bahawa malam nisfu Syaaban berkedudukan di tangga kedua sebagai malam yang paling mulia di sisi Tuhan selepas lailatul qadar. Bersungguh-sungguh menghidupkan malam Nisfu Syaaban turut bermakna kita mencalonkan nama-nama kita untuk ‘meminang’ lailatul qadar (^^,).

Di antara kebesaran dan kehebatan sesuatu perkara ialah banyaknya nama dan gelaran baginya. Nisfu Syaaban turut memiliki ciri ini. Ia digelar oleh para pemuka ulama dari kalangan salaf dan khalaf dengan pelbagai nama yang mulia termasuklah Lailah al-Barakah (Malam Keberkatan), Lailah al-Ghufran (Malam Pengampunan) dan Lailah al-’Itq min al Nar (Malam Pembebasan Dari Api Neraka) Lailah al Baraah (Malam Pelepasan).

Merayu dan memohon bantuan Allah.

Nisfu Syaaban adalah antara sebaik-baik malam untuk kita bermesra, mengadu hal dan merayu bantuan dan pertolongan Tuhan. Maka sudah menjadi kebiasaan umat Islam ini mengikut jejak langkah Penghulu mereka, Nabi Muhammad S.A.W yg telah meninggalkan contoh yang agung dalam memuliakan malam yang penuh mustajab dan berkat ini.

Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq ibn Humam daripada Ali ibn Abu Talib r.a daripada Nabi SAW bersabda:

Apabila tiba malam nisfu Syaaban, hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana Allah SWT menurunkan perintah-Nya pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari. Lalu Allah berfirman, “Adakah terdapat di kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Aku ampunkannya. Adakah terdapat di kalangan mereka yang memohon rezeki, maka akan Aku turunkan rezeki untuknya. Adakah di kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Aku sejahterakannya. Adakah di kalangan mereka begini dan adakah di kalangan mereka begini sehinggalah menjelangnya fajar”. (Dikeluarkan oleh Ibnu Majah di dalam Sunannya)

Saidatina Aisyah turut menceritakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah turun pada malam pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Al Dar Qutni telah meriwayatkan juga hadis Bakar ibn Sahl daripada Hisyam ibn ‘Urwah daripada bapanya, daripada Aisyah r.a:

Malam Nisfu Syaaban adalah malam giliranku bersama Rasulullah SAW. Pada malam itu, Rasulullah SAW bermalam di sisiku. Tatkala tengah malam, aku kehilangan Baginda SAW dari alas tempat tidurku. Demi Allah! Alas kain tempat tidurku itu bukanlah kain bulu yang ditenun dengan sutera, atau kapas”. Aisyah ditanya, “kain apakah itu?” Jawab Aisyah, “Ia adalah kain bulu dan isinya daripada bulu unta. Maka aku mencarinya di bilik-bilik isterinya yang lain tetapi aku tidak menemuinya. Lalu aku kembali semula ke bilikku, dan aku mendapati Baginda SAW seperti sehelai baju yang jatuh ke tanah sedang sujud dan Baginda SAW menyebut di dalam sujudnya: “Telah sujud kepada-Mu jasad dan wajahku, telah beriman denganMu kalbuku. Inilah tanganku dan jenayah ke atas diriku yang telah aku lakukan dengannya. Wahai Tuhan Yang Maha Besar yang diharapkan oleh segala yang besar! Ampunilah dosaku yang besar. Telah sujudlah wajahku kepada Allah yang menciptakannya, membentukkan rupa parasnya, memberikan pendengaran dan penglihatannya”.

Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: “Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidak terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud a.s: “Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud kepada-Nya”.

Kemudian Baginda SAW mengangkat wajahnya dan berdoa: “Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka”.

Aku mendengar Baginda SAW membaca dalam sujudnya: “Aku memohon perlindungan dengan keampunan-Mu dari balasan azab-Mu dan aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada azab-Mu. Sungguh besar Zat-Mu yang tidak terhitung pujiannya ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu”.

Solat tasbih

Itulah suatu gambaran bagaimana Nabi SAW begitu menghayati dan memuliakan malam Nisfu Syaaban. Sunnah baginda ini telah menyuntik inspirasi kepada para pemuka ulama umat ini untuk turut menghidupkan malam tersebut.

Selain itu, kita juga dianjurkan agar menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan solat tasbih. Menerusi hadis yang panjang itu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa solat tasbih adalah antara 10 perkara yang jika dilakukan akan mengampunkan dosa yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan disengajakan, yang kecil mahupun besar malah, yang dilakukan secara sembunyi atau terang-terangan.

Malah baginda SAW turut menyarankan agar kita menunaikan solat tasbih setiap hari, seminggu sekali, sebulan sekali, setahun sekali atau setidak-tidaknya seumur hidup sekali.

Oleh kerana galakan Nabi SAW itu umum sifatnya maka terserahlah kepada umat untuk memilih cara yang paling baik sesuai dengan kemampuan mereka. Tidak peliklah misalannya jika mereka memilih untuk membaca surah yasin pada malam itu kerana surah tersebut adalah yang paling mudah dibaca oleh kebanyakan orang dan pada masa yang sama adalah antara surah yang teristimewa dalam al-Quran.

Alasan bahawa Rasulullah SAW tidak melakukannya tidak semestinya menunjukkan ke atas pengharaman sesuatu. Oleh itu apa-apa yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda SAW yang tidak bercanggah dengan syarak dan tidak disertai larangan daripada Baginda SAW, tidaklah menunjukkan pengharamannya.

Menerusi sekian banyak hadis yang merakamkan bagaimana Rasulullah SAW, para sahabat yang lain memburu peluang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan berdoa dan beribadat kepada Allah SWT, jelas kepada kita tentang keistimewaan dan kelebihan malam yang penuh berkat ini.

Jadi sangat dianjurkan untuk meramaikan malam Nisfu Sya’ban dengan cara memperbanyak ibadah, salat, zikir membaca al-Qur’an, berdo’a dan amal-amal salih lainnya.

Dengan demikian, kita sebagai umat Islam semestinya tidak melupakan begitu saja, bahwa bulan Sya’ban adalah bulan yang mulia. Sesungguhnya bulan Sya’ban merupakan bulan persiapan untuk memasuki bulan suci Ramadhan. Dari sini, umat Islam dapat mempersiapkan diri sebaik-baiknya dengan mempertebal keimanan dan memanjatkan doa dengan penuh kekhusyukan.

Wallahua’lam..
Sumber

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: