Sunnah Itu Hikmah

Maulidur Rasul merupakan detik yang amat istimewa. Lantaran itu, ada-ada sahaja aturcara yang susun oleh masyarakat Islam demi meraikannya. Namun, sekadar menyambutnya begitu sahaja tanpa pengisian yang sewajarnya,  tidak ubah seperti sebiji gelas kristal yang indah, tetapi kosong tanpa isi – amat merugikan! Dan ia pasti menjadi lebih sia-sia apabila Muslim sendiri tidak mendaulatkan sunnah peninggalan baginda Rasulullah SAW.

Allah SWT telah berfirman dalam kitab-Nya: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul-Nya, dan orang-orang yang memegang kekuasaan antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka hendaklah kamu kembalikan kepada Allah  dan rasul,  jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan.” (An Nissak:59)

“Kembalikan kepada Allah dan Rasul” yang dinyatakan oleh-Nya dalam ayat tersebut jelas merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Justeru , tidak dapat tidak, manusia tidak hanya perlu bergantung kepada kitab Allah, tetapi juga sunnah Rasulullah yang mempunyai pengaruh amat besar dalam perluasan pembinaan hukum Islam.

As sunnah mempunyai pelbagai pengertian yang dilihat berdasarkan kaca mata banyak pihak. Walau bagaimanapun, setiap definisi yang diberikan kelihatan tidak banyak bezanya antara satu sama lain.

Dalam buku berjudul Pedoman Muslim terjemahan daripada Minhaajush Shaalihin, ahli hadis melihat sunnah sebagai sesuatu peninggalan Rasulullah sama ada dalam bentuk perkataan, ketetapan mahupun sifat-sifat jasmani atau budi pekerti serta sejarah hidup – sebelum dan sesudah kenabian baginda diangkat Allah.

Sementara bagi ahli usul, as sunnah merupakan sesuatu yg dinukilkan daripada Nabi Muhammad. Ini boleh jadi membabitkan perkataan, perbuatan mahupun ketetapan. Contoh yang melibatkan perkataan ialah sesuatu yang disabdakan oleh baginda dalam pelbagai bentuk yang berhubung dengan pembinaan hukum. Perbuatan pula adalah seperti perlakuan Rasulullah dalam urusan ibadah seperti solat.

Menurut istilah fikah, as sunnah merupakan sesuatu yang tetap (sah) daripada baginda. Ia bukan fardu dan tidak wajib. Menurut sebahagian daripada ahli fukaha, sunnah adalah mutlak atas sesuatu yang berlawanan dengan bidaah.

 

Sahih, Hasan & Daif

Sebagai hamba Allah, al-Quran wajib dijadikan panduan hidup. Begitulah juga keadaannya dengan sunnah. Abu Abdillah Hakim mentakhrijkan daripada Ibnu Abbas, bahawasanya Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk menjadi sembahan di bumimu, tetapi ia senang untuk ditaati selain disembah daripada perbuatan-perbuatanmu yang merendahkan kamu, maka berhati-hatilah. Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepadamu selama kamu bepegangan dengannya maka kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya.”

Hadis merupakan sunnah Rasulullah. Dalam Islam, ia termasuk dalam dalil bagi menentukan hukum serta peraturan agama selain al-Quran. Ia terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama berperanan penting dalam menjelaskan maksud al-Quran. Sementara yang kedua pula menghuraikan hukum-hukum yang tidak dinyatakan oleh Allah dalam kitab-Nya.

Ini sesuai dengan dua firman Allah dalam surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud: “Kami turunkan kepadamu (Muhammad) akan Quran supaya engkau jelaskan kepada manusia apa yang diturunkan (Quran) kepada mereka.”  dan surah An Nissa’ ayat 59 yang bermaksud: “Hai orang beriman! Ikut olehmu akan perintah Allah dan ikut olehmu akan perintah rasul.

Walau bagaimanapun, agak menyedihkan apabila tidak semua semua daripada sunnah baginda dilaksanakan dalam kehidupan kita. Dan tambah menyayat hati apabila wujud segelintir pihak yang memesongkan sunnah Rasulullah dengan memutar belitkan hadis.

Terdapat beberapa peringkat hadis iaitu sahih, hasan dan daif. Hadis sahih merupakan hadis yang sanadnya bersambung dengan riwayat orang adil yang memiliki ingatan kuat (dhabith). Selain itu, hadis tersebut turut selamat daripada unsur-unsur penyimpangan dan illat (penyakit). Hadis sahih tidak terkumpul secara mutlak dalam satu kitab hadis.

Bagi hadis hasan pula, perawinya ringan iaitu tidak kukuh hafalannya berbanding hafalan orang yang dhabith. Sementara hadis daif adalah hadis yang tidak melengkapi syarat-syarat hadis sahih dan hasan. Terdapat tiga jenis hadis daif iaitu daif (lemah), amat daif (sangat lemah) dan hadis maudhu’ (palsu).

Keistimewaan Sunnah

Sunnah Rasulullah amat istimewa kerana ia merupakan suatu hikmah.

Allah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah memberikan kurnia bagi orang-orang yang beriman, ketika dia telah mengutuskan seorang rasul kepada mereka antara mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka dan membersihkan mereka (dari sifat-sifat yang jahat) lagi mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka. sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata.” (Ali Imran:164)

Berdasarkan ayat tersebut, kebanyakan ulama dan penyelidik berpendapat, hikmah yang  dimaksudkan ialah sesuatu yang diperlihatkan oleh Allah kepada baginda daripada rahsia agama dan hukum syariat-Nya. Mereka memanggilnya sebagai sunnah.

Justeru, selaku umat Muhammad, Muslim hari ini tidak wajar mensia-siakan sunaah peninggalan baginda. Mengabaikannya tidak lebih daripada suatu kerugian.

sumber

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: