Pengetua-pengetua SAM Hisamuddin Sg. Bertih

SAM Hisamuddin Sg. Bertih pernah ditadbir oleh 15 orang Pengetua.

1946 – 1965
Al- Syaikh Mahmud Al-Bukhari

1965 – 1969
Hj Khalil bin Abu Amar

1969 – 1973
Hj Abdul Hamid bin Umar

1973 – 1975
Hj Abdul Murad bin Fakeh Aji

1975 – 1976
Hj Ishak bin Baharom

1976 – 1982
Hj Paidi bin Kromo

1982 – 1990
Hj Sianid bin Mukim

1990 – 1994
Hj Muzir bin Hj Arshad

1994 – 1997
Hjh Siti Mureseh bt Md Yatim

1997 – 1998
Abdul Latif bin Sadli

1998 – 2000
Ariffin bin Rabu

2000 – 2002
Jamaliah bt Jauhari

2002 – 2003
Ismail bin Awang

2003 – 2008
Hjh Asmawati bt Ahmad Ishak

2008 – 2010
Hjh Siti Zubaidah bt Ahmad

2010 – kini
Hjh Serifah Mahaya bt Syed Dakian

(Disediakan oleh CIkgu Hamimah)
Advertisements

Sejarah Penubuhan SAM Hisamuddin Sg. Bertih, Klang

 

TAHUN PERKARA / PERISTIWA
 

Awal Sejarah Sekolah Bermula Tahun 1940an hingga  Tahun 1972

 

Sejarah Maahad Hisamuddin ini bermula apabila Pengetuanya yang pertama, Syeikh Mahmud al – Bukhari yang merupakn seorang tokoh agama yang tidak asing di negeri Selangor, datang ke Malaysia pada tahun 1940an atas jemputan al- Marhum  Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj. Syeikh Mahmud berketurunan Bukhara dan berasal dari Mekah. Beliau pernah tinggal di Teluk Pulai Klang dan kemudian menetap di Kampung Kuantan Klang.

Pengajian secara tidak formal selama 2 tahun iaitu pada tahun 1946 dan 1947 telah bermula di kediaman beliau di Kampung Kuantan, Klang

Sekitar tahun 1948 hingga 1951, beberapa perubahan telah berlaku, pengajian pelajar Muslimin berhijrah pula ke dua tempat yang berlainan. Seramai 60 orang pelajar dipindahkan  ke bangunan Faizin yang masih kekal hingga sekrang (berhampiran Yayasan Selangor sekarang) dan seramai 60 orang pelajar lagi ditempatkan di Surau al- Falah Teluk Pulai, Klang, manakala pelajar Muslimat di hijrahkan ke surau Kampung Jawa (sebelah kubur).  Pada waktu ini, bangunan lama Maahad Hisamuddin Sungai Bertih dan bangunan lama  Jama’atul Islamiah  di Kampung Jawa sedang dalam proses pembinaan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara bangunan lama Maahad siap, pelajar pernah di tempatkan di Surau Sungai Bertih untuk tempoh beberapa bulan.  Pengajian Formal di Sungai Bertih bertukar wajah dengan nama al-Maahad ad-Dinil  Islami Hisamuddin (sempena nama al-Marhum Sultan Hisamuddin) pada tahun 1950 menampung pelajar-pelajar Muslimin sahaja, manakala pelajar Muslimat di bangunan lama al-Maahad Hisamuddin Kampung Jawa dengan mengekalkan nama asalnya iaitu Jama’atul Islamiyyah.         . Maahad ini menawarkan  kepada pelajarnya pengajian di Peringkat Ibtidaiyyah dan Peringkat Thanawi.  Pada tahun 1956 seramai 8 orang pelajar telah menamatkan pengajian di peringkat 4 Thanawi tetapi hanya 3 orang sahaja yang  menduduki peperiksaan Sijil Empat Thanawi dan telah lulus dengan jayanya, antaranya ialah Tuan Haji Ghazali bin Haji Siraj (Tuan Nazir Mesjid Sungai Udang sekarang), Dato’ Haji Hasan Azhari (ulamak al-Quran, pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah ) dan Tuan Haji Ahmad Muhid (imam Mesjid Negeri Selangor). Ustaz Jamek Duriat, Ustaz Said Husin, Ustaz Mohd. Amin Abdul Karim dan Ustaz Hambali Abdul Salam tetapi hanya 3 orang yang pertama sahaja telah  menduduki peperiksaan Sijil Empat Thanawi dan telah lulus dengan jayanya. Selepas memperoleh Sijil Thanawi, ada di antara mereka yang melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam dan Mesir. Mereka adalah antara jenerasi Maahad Hisamuddin yang pertama di bawah mudir Syeikh Mahmud al-Bukhari.

Pada akhir tahun 1960an hingga awal tahun 1970an sebanyak 10 kelas telah dibuka, 2 kelas di bahagian hadapan bangunan menempatkan Pejabat Bahagian Pendidikan Agama Islam Negeri Selangor, pengarahnya ketika itu ialah Tengku Ibrahim Shah dan Bahagian Pentadbiran ditempatkan di Maahad Jama’atul Islamiah Kampung Jawa, Tengku Nong sebagai pengarahnya.  Sementara 8 kelas digunakan untuk pengajian.  Salah seorang bekas pelajar tahun 1962 hingga 1969 iaitu Tuan Haji Mohd Noh bin Haji Ismail  (sekarang bertugas sebagai Penolong Pendaftar Nikah Cerai) telah mengesahkan maklumat ini.

Pakaian seragam Maahad Hisamuddin Sungai Bertih dari tahun 1950 hingga 1972 ialah baju melayu putih, sampan biru dan songkok hitam.  Mata pelajaran yang ditawarkan pula ialah :

Peringkat Ibtidaiyyah          : Tauhid, Feqah, Nahu, Sorof, Imlak, Insyak, Khot,

                                                  Mahfuzot(Syair) dan Muhawaroh.

Peringkat Empat Thanawi  : Tauhid, Feqah, Nahu, Sorof, Imlak, Insyak, Khot dan

                                                  Balaghah.

 

Tahun 1973 – 1979

Zaman pendidikan di Maahad Hisamuddin Sungai Bertih dan Maahad Jama’atul Islamiyyah di Kampung Jawa mengalami satu lagi perubahan di mana Jabatan Agama Islam Negeri Selangor telah membentuk satu sistem pendidikan  menggabungkan mata pelajaran Arab dan Akedemik  yang mula beroperasi pada tahun 1973 dengan jumlah pelajar seramai 40 orang, 20 orang pelajar lelaki dari Maahad Hisamuddin Sungai Bertih dan 20 orang pelajar (lelaki dan perempuan) dari Sekolah Rendah Agama daerah Klang tanpa mengira peringkat umur. Antara pelajar yang bertuah sebagai  generasi pertama ini ialah Ustazah Siti Salmah binti Khalil, dan Ustazah Siti Rugaiyah binti Ismail sebagai pelajar tingkatan 1 tahun 1994. kedua-duanya sedang bertugas di Maahad ini.

Pada peringkat awal,  pelajar-pelajar tingkatan 1 pada tahun 1973 dan 1974 ditempatkan sementara di Maahad Jama’atul Islamiyyah di Kampung Jawa.  Pada pertengahan tahun 1974, pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2 dipindahkankan ke Maahad Hisamuddin Sungai Bertih. Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran  (SRP) bermula pada tahun 1974,  sebagai pusat.

Mata pelajaran yang ditawarkan adalah seperti berikut :

1. Bahasa Melayu

2. Bahasa Arab

3. Bahasa Inggeris

4. Agama Islam

5. Matematik

6. Sains Rampaian

7. Tawarikh (Sejarah)

8. Ilmu Alam (Geografi)

Pelajar menyambung pelajaran ke tingkatan 4 hingga tingkatan 6 di Kampung Jawa.   Apabila terbentuk sistem pendidikan JAIS yang baru, Maahad Hisamuddin di Sungai Bertih kekal dengan nama asalnya sebagai Sekolah Ugama Menengah Rendah (SUMR) dan Maahad Jama’atul Islamiyyah di Kampung Jawa telah ditukar kepada Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin mulai 1977 dan peperiksaan SPM yang pertama pada tahun 1977 di Kolej Islam Klang. Sebanyak 2 kelas tingkatan 6  Rendah dibuka pada tahun 1979, 1 kelas adalah baki dari sekolah menengah daerah Klang dan 1 kelas dari Sungai Bertih.  JAIS telah memberi peluang kepada calon-calon  SPM 1978 untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Agama (SPA) pada tahun 1979 jika lulus SPM walau pun tiada memiliki SMA atau Thanawi. Peperiksaan STP yang pertama pada 1980.

Perubahan dan perkembangan ini memberi banyak faedah kepada masyarakat Islam di Negeri Selangor amnya dan khusus kepada pelajar SAMH Sg. Bertih dan SAMHT Kg. Jawa. Pelajar SMK berpeluang menyambung pelajaran di tingkatan 6 untuk menduduki peperiksaan STP dan pelajar aliran 4 Thanawi dan SMA berpeluang mengambil SPM di Kg. Jawa.

Maahad Hisamuddin Sungai Bertih dalam Era 1980an

Mulai tahun 1986, pelajar Maahad Hisamuddin Sungai Bertih tidak perlu berpindah ke Hisamuddin Kg. Jawa untuk meneruskan pengajian di tingkatan 4 dan 5.  Mereka menduduki peperiksaan SPM yang pertama pada 1987.  Pada masa yang sama generasi aliran Arab telah menamatkan pengajian masing-masing.  Oleh itu JAIS telah menyusun semula pakej  mata pelajaran  baru dengan mewajibkan pelajar menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA). 4 mata pelajaran Arab mula diwajibkan kepada pelajar tingkatan 1 pada tahun 1983, iaitu Ayat  / Hadith, Feqah / Tauhid dan Tarikh Islam.

11 MAC 2007

Pembinaan blok baru 4 tingkat

25 MAC 2008

Majlis penyerahan blok baru. Ia menempatkan 6 bengkel KHB, 8 buah kelas & sebuah surau.

 

Semoga catatan ini dapat dijadikan panduan dan rujukan untuk generasi akan datang.

 

Ditulis oleh

Siti Rugaiyah binti Ismail

 

15 Disember 2007 bersamaan 05 Zulhijjah 1427H

 

 

 

 

Sumber Rujukan :

1.  Bekas Pelajar tahun 1946-1956   :  Tuan Haji Ghazali bin Haji Siraj.

(Nazir Mesjid Darul Muttaqin Sungai Udang, Klang)

 

2.  Bekas Pelajar Tahun 1962-1969  :   Tuan Haji Mohd. Noh bin Haji Ismail

(Penolong Pendaftar Nikah dan Cerai, Qariah Sg. Udang)

 

3.  Bekas Pelajar Maahad Jama’atul Islamiyyah Kg. Jawa Tahun 1951-1958 :  Puan Hajjah Joryah

binti Haji Maulan

 

4.  Bekas Pelajar Tahun 1973-1975  :  Ustazah Siti Salmah binti Khalil

(Tenaga Pengajar di SAMHSB)

 

5.  Bekas Pelajar Tahun 1974-1976  :  Ustazah Siti Rugaiyah binti Haji Ismail

(Tenaga Pengajar di SAMHSB)

 

6.  Bekas Pelajar Tahun 1983-1987  :   Puan Azlina binti Emam Bohari

(GPK HEM SAMHSB)

 

7.  Buku “ Masjid Nurul Ehsan Dulu dan Kini”, tulisan Tuan Haji Ghazali bin Haji Siraj dan Haji

Mohd. Zaki bin Haji Ghazali.  Diterbitkan sempena perasmian Mesjid Nurul Ehsan Sg. Udang

oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 02 November 2007 bersamaan 21 Syawal

1427 H  dengan nama baru “Mesjid Darul Muttaqin”.


Sejarah Sekolah-sekolah Agama di Selangor

Sejarah institusi pendidikan Islam di Selangor bermula pada akhir abad yang ke-19. Menurut Frank W.Haines , Inspektor Sekolah Selangor (1894) melaporkan bahawa terdapat tujuh belas (17) buah kelas al-Quran diwujudkan pada tahun berkenaan. Ketika itu, kelas-kelas ini di bawah kelolaan kerajaan negeri Selangor. Matapelajaran seperti Ibadah, Tauhid dan Akhlak telah ditambah semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah, sultan Negeri Selangor ke-5 (1898-1938). Di zaman baginda Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah, sekolah-sekolah agama mendapat restu yang tidak berbelah bahagi daripada baginda sultan.

Baginda Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah telah menubuhkan sebuah sekolah agama perempuan di Kampong Bandar di daerah Kuala Langat ketika era pemerintahan almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah (1857-1898). Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa merupakan Raja Muda ketika itu sebelum menaiki takhta selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad yang merupakan sultan pertama di Selangor yang diiktiraf oleh Ruler in Council pada 5 September 1879. Continue reading

Sejarah dan Kronologi Penubuhan SAM di Selangor

Sekolah-sekolah menengah agama di negeri Selangor wujud kebanyakan berasal dari penubuhan sekolah pondok. Menurut catatan rekod, Sekolah Agama Menengah Rendah Parit Baru (1944) adalah antara sekolah terawal yang dibangunkan secara moden hasil perjuangan guru-guru pondok ketika itu. Di samping itu juga, kesungguhan almarhum tuanku Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah dan almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah dalam membangunkan institusi pendidikan telah menyebabkan banyak sekolah-sekolah menengah telah di bangunkan pada tahun 50an sehingga 70an.  (Sumber)
KRONOLOGI PENUBUHAN SAM DI SELANGOR

Tahun Penubuhan 

Nama Sekolah  Pengasas 
 1944 Sekolah Agama Menengah Rendah Parit Baru  Mohd Som @ Marsom Bin Mohd Omar 
 1945 Sekolah Agama Menengah Rendah Hisamuddin, Jln. Tepi Sungai  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor 
 1946 Madrasah Unwan al Saadah Kanchong Darat (kemudian dikenali sebagai SAM Unwannus Saadah Kanchong Darat bermula 1989)  MAIS (1989)
 1952 Sekolah Agama Menengah Sungai Besar (kini dikenali sebagai SAM Tengku Ampuan Jemaah Sg. Besar )   Hj. Abu Samah bin Nordin
 1954 Sekolah Agama Menengah Sg. Hj. Dorani  Tiada maklumat
 1956 Taman Asuhan Putera Puteri Jeram (kini dikenali sebagai SAM Jeram Batu 20)  Ahmad Muhit bin Hj. Yusof
 1960 Sekolah Agama Menengah Seri Desa Tanjong Karang  Hj. Ismail bin Hj Tahir
 1966 Sekolah Agama Menengah Rendah Bagan Terap  Tajudin bin Chik
 1970 Sekolah Agama Menengah Rendah Pekan Pasir Panjang  Hj. Omar bin Hj. Said
 1974 Sekolah Agama Menengah Rendah Sungai Selisik  Tiada maklumat
 1974 Sekolah (Arab) Menengah Batu 38 Sabak Bernam (Dikenali Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Batu 38 Sabak Bernam setelah diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor ketika itu.  MAIS
 1976 Sekolah Agama Menengah Tinggi Sungai Manggis, Kuala Langat (dikenali sebagai SAMT Tengku Ampuan Rahimah Sg. Manggis)  MAIS
 1974 Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah Kg Jawa (Ditukar nama kepada SAMT Hisamudin Kg Jawa setalah disatukan pentadbiran dengan SAMR Sg. bertik)  MAIS
 1983 Sekolah Agama Menengah Tinggi  Shah Alam (dikenali kini sebagai SAMT Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam)  MAIS
 1983 Sekolah Agama Menengah Hulu Langat (kini dikenali sebagai Sekolah Agama Menengah Batu 10, Cheras)  MAIS
 1984 Sekolah Agama Menengah Ibnu Khaldun (dikenali kini sebagai Sekolah Agama Menengah Rawang)  AJK Kampong Kenanga,Rawang
 1985 Sekolah Agama Menengah Paya Jaras  Tiada maklumat
 1986 Sekolah Agama Menengah Kuala Kubu Bharu  Tiada maklumat
 1988 Sekolah Agama Menengah Rendah Sungai Merab  MAIS
 1999 Sekolah Agama Menengah BESTARI  MAIS

Sumber : Unit Pendaftaran BPI.JAIS

(Sumber)