Selamat Hari Guru

Sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei yang lalu, kami warga admin samhisamuddin.wordpress.com ingin mengucapkan ‘TERIMA KASIH CIKGU’ kepada semua insan yang bergelar guru.  Sejak di bangku tadika, kita diperkenalkan dengan insan bergelar guru.  Dan sejak itu ucapan ‘TERIMA KASIH CIKGU’ sentiasa diucapkan oleh kita sehinggalah kini. 

Sungguh, jasa guru-guru sangat besar.  Apa yang terbentuk pada diri kita sekarang ini, sebahagian besarnya telah dibentuk oleh guru-guru kita.  Pandai, cerdik, karisma, aktif, kuat, proaktif, cergas dan 1001 kualiti diri yang terwarna pada diri semuanya tidak lepas dari diwarnai dek tangan guru-guru.  Kemuliaan mereka menjadikan kita mulia.

Wahai para pelajar SAMHSB,

Ambillah butiran mutiara yang ada di tangan guru-gurumu.  Dampingilah mereka, kasihilah mereka.  Sudah banyak butiran mutiara yang telah diberi oleh guru tanpa mereka meminta balas sedikit pun daripadamu.  Mutiara-mutiara ilmu yang engkau kutip itu, nanti akan menyinarkan dirimu.  Malah bukan sahaja memberi sinar kepada dirimu, ia juga akan memberi sinar insan-insan di sekelilingmu.  Dan jangan lupa kongsikan juga mutiara-mutiara itu dengan rakan-rakanmu.

Pelajar saban tahun akan meninggalkan sekolah, tetapi guru tetap setia mencurah bakti di sekolah.  Ada yang sudah puluhan tahun berkhidmat di SAMHSB.  Buat bekas2 pelajar, jenguklah mereka.  Percayalah, dengan hanya bertanya khabar pun, akan membuatkan mereka iaitu guru-guru berasa sangat bangga dan ceria.  Penat lelah mengajar terubat seketika.

Terima kasih cikgu.  Terima kasih ustadz.  Terima kasih ustadzah.  Terima kasih atas segala2nya.  Terima kasih kerana memanusiakan kami.

Semoga ALLAH memberikan ganjaran yang tinggi kepada dirimu wahai guru, amin…

-CikguShah, SAMHSB website admin-

Antara usaha pelajar SAMHSB utk menzahirkan kasih mereka kepada para guru. Sejuk hati apabila melihatnya.
Antara usaha pelajar SAMHSB utk menzahirkan kasih mereka kepada para guru. Sejuk hati apabila melihatnya.